TAPAH – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tapah yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, diumum sebagai calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Majlis Pengisytiharan Calon PN di Padang Awam Tapah Road, di sini malam ini.
Turut hadir Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin.
Terdahulu, Barisan Nasional (BN) meletakkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir sebagai calon manakala Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula mempertaruhkan Timbalan Setiausaha Agungnya, Bawani KS pada PRK yang akan diadakan 26 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru. – MG Perak
Artikel Berkaitan: