Polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah terima rasuah

MELAKA – Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini, atas dua pertuduhan menerima rasuah tiga tahun lepas.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Hazwan Ahad, 36, didapati secara rasuah memperoleh suatu suapan iaitu wang tunai RM2,000 daripada Hasnah Ahmad Shah pada 9 Mac 2021 sekitar 3 petang di sebuah rumah di Taman Rambai Idaman, Melaka Tengah.

Tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah itu, didakwa menerima suapan sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan undang-undang kepada Julhashfizan Abdullah iaitu anak kepada Hasnah di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang jika sabit bersalah boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Mohd Hazwan juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu menerima wang tunai RM2,000 tanpa sebarang balasan daripada Hasnah, dengan tertuduh mengetahui Hasnah mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Bagi kesalahan di lokasi dan tarikh sama itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Melaka sekali sebulan dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun peguam Mohd Hazrin Alif Wahab memohon agar jaminan minimum dikenakan terhadap tertuduh.

Hakim Elesabet Paya Wan menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan.

Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 21 Feb depan.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI