IPOH – Polis sedang memburu dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian letupan di sebuah premis perniagaan di Panorama Lapangan Perdana, di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu daripada seorang wanita berusia 43 tahun sekitar jam 4.58 pagi.
Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis menunjukkan dua lelaki menaiki sebuah motosikal meletakkan satu objek dipercayai bahan letupan di hadapan premis itu sebelum beredar.
“Pemeriksaan awal oleh Unit Siasatan Pasca Letupan (PBI) dan Unit Persenjataan Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mengesahkan bahawa kejadian berpunca daripada penggunaan bahan letupan tahap rendah iaitu pyrotechnic flash bang grenade stun atau bom tangan pegun.
“Kejadian letupan itu telah menyebabkan kerosakan pada pintu roller shutter dan lantai hadapan premis berkenaan, manakala kedai bersebelahan turut mengalami kerosakan kecil pada papan tanda dan dinding.
“Bahan letupan ini bukan bertujuan mencederakan atau membunuh, namun digunakan untuk menakut-nakutkan serta menyebabkan kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan serta Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.
Beliau memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Al Hakim Al Balkhis di talian 011-1125 6246 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500.
“Polis menegaskan bahawa sebarang bentuk jenayah melibatkan bahan letupan adalah serius dan akan diambil tindakan tegas mengikut undang-undang,” ujarnya.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 33 saat berhubung kejadian itu di media sosial.– MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis masih siasat penemuan bom mortar berhampiran Terowong Menora