Polis buru individu baling molotov cocktail di KK Mart Bidor

IPOH – Polis Perak kini giat mengesan individu yang membaling botol kaca disyaki berisi minyak tanah di kedai serbaneka KK Mart di Bidor, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, setakat ini pihaknya menerima laporan polis dari pekerja wanita kedai serbaneka tersebut pada memaklumkan kejadian yang berlaku pada jam 5.35 pagi tadi.

Menurutnya, ketika kejadian pekerja terbabit mendengar bunyi botol pecah di hadapan kedai.

“Pekerja terbabit terus ke bahagian hadapan kedai dan mendapati serpihan kaca serta bahan letupan menyerupai mercun berada di atas lantai kedai.

“Pada masa sama, pekerja terbabit turut terhidu bau seperti minyak tanah dipercayai daripada serpihan kaca tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Pencegahan Jenayah Komersil – Phone Scam anjuran Polis Perak dan Pos Malaysia Berhad di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, pada Selasa.

Mohd Yusri berkata, cecair yang dipercayai bahan letupan itu telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut.

“Selain itu, kita juga telah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kedai tersebut dan sedang memperhalusi kenderaan serta individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Mohd Yusri memohon kerjasama orang ramai tampil menyalurkan sebarang maklumat berhubung kejadian.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Norseha Baharudin di talian 05-4011861 atau 017-7963359.

Sementara itu, beliau memaklumkan polis menerima 22 laporan mengenai isu stoking kalimah ALLAH di seluruh negeri ini.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Kesemua laporan tersebut telah dirujuk kepada laporan polis pertama yang dibuat berhubung insiden itu di Batu Kikir, Negeri Sembilan,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KK Mart Bidor dilempar molotov cocktail

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI