Polis buru Tun, bantu siasatan insiden pergaduhan sebab kematian

BAGAN SERAI – Polis sedang memburu seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan sehingga menyebabkan kematian lelaki warga Nepal di sebuah asrama pekerja asing di Kuala Kurau, dekat sini, pada Ahad.

Lelaki yang dikenali sebagai Tun Tun Naing berusia 38 tahun itu dipercayai telah menghilangkan diri selepas kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, sebelum itu pihaknya menerima maklumat berkenaan insiden itu melalui panggilan kecemasan sekitar jam 12.35 pagi.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pihak polis mendapati pergaduhan itu telah terhenti namun seorang lelaki warga Nepal meninggal dunia dipercayai akibat daripada insiden berkenaan.

“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati, pergaduhan tercetus antara sekumpulan warga asing warganegara Myanma dan Nepal yang berpunca akibat rasa tidak puas hati disebabkan perbuatan membuat bising.

“Kedua-dua pihak ini bekerja di sebuah kilang yang sama yang terletak di Kuala Kurau.

“Mangsa maut yang berusia 28 tahun disyaki telah terbunuh dalam pergaduhan tersebut akibat luka tusukan dari objek tajam,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut beliau, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian telah menahan 21 orang yang terlibat dalam pergaduhan berkenaan untuk membantu siasatan.

Justeru ujar Juna, polis memohon bantuan orang ramai untuk menyalurkan informasi sekiranya terjumpa atau mempunyai maklumat berkenaan lelaki warga Myanmar yang melarikan diri itu.

“Maklumat boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Asisten Superintendan Ambri Mat Nayan di talian 011-1309 2525.

“Atau disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Fernandes Anak Bayoi di talian 019-867 3515, atau hubungi IPD Kerian di talian 05-721 5222 atau mana-mana balai polis terdekat,” katanya lagi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Maritim Perak tahan bot tempatan, empat nelayan warga asing

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI