IPOH – Polis masih bekerjasama dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi menyemak kamera litar tertutup (CCTV) serta mendapatkan keterangan saksi-saksi bagi membantu siasatan kes kemalangan di Kilometer 264 Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) berhampiran Terowong Menora arah selatan, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, polis juga berusaha untuk menghubungi adik mangsa namun masih tidak menerima sebarang maklum balas berhubung dakwaan barangan milik mangsa hilang dalam kejadian itu.
“Kita berusaha untuk menghubungi adik mangsa yang memviralkan isu kehilangan (barangan milik mangsa) tetapi tidak dijawab. Mesej tiada respon.
“Setakat ini, tiada pihak yang tampil membuat aduan berkaitan kehilangan (barangan) tersebut“, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbabas ke dalam longkang.
Katanya, akibat kemalangan tersebut, seorang wanita berusia 25 tahun yang juga penumpang mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 9 pagi, 31 Mac lalu.
Tambahnya, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun turut terkorban di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala manakala pemandu mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan kanan dan kini sedang menerima rawatan.
“Kita turut menerima satu video tular di media sosial yang mendapati sebuah pacuan empat roda berwarna merah telah menggilis mangsa serta melarikan diri dari lokasi kejadian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini termasuk rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau saksi awam diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Faiz Abdul Khalim di talian 018-372 8477.
Dalam kejadian sekitar jam 6.45 petang itu, Naira Falisha Abdul Rahman, 2, meninggal dunia selepas tercampak keluar dari kereta jenis Perodua Bezza dipandu bapanya yang terbabas di Kilometer 264.4, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan selepas Terowong Menora di sini.
Sementara ibunya, Nur Fatihah Badrul Hisham, 25, menghembuskan nafas terakhir pada jam 9 pagi pada Isnin ketika mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Kedua-dua mangsa bersama bayi dalam kandungan telah selamat dikebumikan pada Isnin. – MG Perak