TELUK INTAN – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak melalui Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) mencatatkan jumlah rampasan dadah bernilai RM628,572 sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, ini menunjukkan komitmen berterusan pihaknya dalam membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.
Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil pelaksanaan pelbagai operasi penguatkuasaan termasuk tindakan risikan, serbuan dan pemantauan bersepadu bersama agensi berkaitan.
“Antara rampasan terbesar sepanjang tempoh tersebut adalah 8,751.14 gram heroin bernilai RM437,557; 2,369.2 gram ganja bernilai RM118,460; dan 694.55 gram syabu bernilai RM69,455.
“Selain itu, kita turut merampas pelbagai jenis dadah lain termasuk ekstasi, erimin, ketamin dan mitragynine,“ katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah di kawasan masing-masing.
“Semua maklumat yang diberikan akan dirahsiakan sepenuhnya dan memainkan peranan penting dalam membantu pihak polis membanteras kegiatan jenayah ini,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
8 lelaki ditahan, 226 mesin perlombongan Bitcoin haram dirampas


