MELAKA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 87 saman terhadap penunggang motosikal sepanjang penganjuran RXZ Members Ride Edition 3.0 2025 yang berlangsung selama tiga hari di seluruh negeri Melaka, bermula Jumaat hingga tengah malam tadi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, tindakan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) itu melibatkan pemantauan di beberapa lokasi utama sekitar negeri ini.
“Sepanjang operasi berkenaan, PDRM telah mengeluarkan 87 saman melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Bagaimanapun, tiada ‘saman ekor’ atau Notis Pol.170A dikeluarkan atas kesalahan melanggar had laju yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, antara kesalahan utama dikesan melibatkan penunggang motosikal ialah tiada lesen memandu (13 kes), Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (14 kes) serta tiada insurans sebanyak sembilan 9 kes.
“Kesalahan lain adalah berkaitan aksesori, nombor pendaftaran, topi keledar serta pengubahsuaian ekzos.
“Selain itu, tiada sebarang kenderaan disita dan tiada tangkapan dilakukan sepanjang tempoh penganjuran acara berkenaan,” tambahnya.
Semalam, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong menyifatkan program himpunan lebih 20,000 pemilik RXZ Members Ride 3.0 yang diadakan di Melaka sejak Jumaat lalu telah memberi kesan serius terhadap rutin harian penduduk, ketenteraman awam serta keselamatan jalan raya di negeri ini.
Kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka itu bagaimanapun dibidas pemimpin UMNO yang berkata DAP Melaka seharusnya mengeluarkan kenyataan berunsur populis sehingga mencetuskan persepsi negatif.
Ini kerana acara berkenaan telah memberi limpahan ekonomi kepada rakyat negeri Melaka dalam dan luar bandar termasuk peniaga-peniaga kecil, industri perhotelan dan pengusaha homestay sekali gus merancakkan sektor pelancongan negeri. – MalaysiaGazette


