TAIPING – Polis sedang mengesan pemandu kereta yang melarikan diri selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya dengan motosikal dinaiki dua lelaki di Jalan Changkat Jering – Air Kuning, dekat sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, kemalangan itu telah mengakibatkan penunggang motosikal warga emas berusia 73 tahun dan pembonceng berusia 41 tahun terjatuh.
“Sekitar jam 12.30 tengah hari, pihak polis menerima maklumat berkenaan kejadian kemalangan jalan raya melibatkan semua motosikal.
“Hasil siasatan awal mendapati, motosikal berkenaan sedang dalam perjalanan dari Changkat Jering menghala ke Air Kuning.
“Setibanya di lokasi, motosikal ditunggangi dua lelaki itu dipercayai bergesel dengan sebuah kereta (yang tidak pasti nombor pendaftaran) sebelum terjatuh. Pemandu kereta tersebut kemudian melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Justeru, Mohamad Nasir berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Tambah beliau, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan jalan raya itu untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.
“Orang ramai boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Abdul Mu’iz Riduan di talian 011-20987354,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: