MANJUNG – Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah, di Taman Bintang, Sitiawan, dekat sini, sejak 10 hari lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, Ling Siew Siew, 48, dipercayai telah keluar dari rumah berkenaan dengan memandu sebuah kereta Perodua Axia pada 10 Januari.
Menurutnya, ahli keluarga memaklumkan bahawa wanita yang mempunyai masalah gangguan mental itu disedari hilang selepas tidak berada di rumahnya pada keesokan harinya.
“Waris ada bertanyakan kepada jiran dan dimaklumkan kali terakhir melihat Siew Siew pada Jumaat, tarikh berkenaan.
“Justeru ahli keluarga membuat laporan polis pada 13 Januari lalu berhubung kehilangan wanita itu,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Hasbullah memberitahu, Siew Siew berketinggian 155 sentimeter (cm) dan mempunyai berat 60 kilogram (kg), berambut pendek berwarna hitam serta berkulit kuning langsat.
Kata beliau, wanita itu keluar ke rumah bersama sebuah Perodua Axia berwarna biru dan nombor pendaftaran AMV 5568.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang lokasi wanita terbabit diminta untuk menghubungi Ketua Polis Balai Kampung Koh, Hishamuddin Md Isa di talian 019-3664181, Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya lagi.
Sementara itu difahamkan, wanita berkenaan kali terakhir di kesan memandu kereta tersebut dengan melalui Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) berhampiran Taiping, namun tidak dapat dipastikan sama ada dia menuju ke arah utara atau selatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: