IPOH – Polis meminta bantuan orang ramai mengesan tiga remaja perempuan termasuk seorang pelajar Politeknik Ungku Omar yang dilaporkan hilang di sini sejak Oktober tahun lalu.
Remaja berkenaan adalah, Nurul Syuhada Muksin, 18; K Ashwinia, 15; dan Shomina, 16.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, Nurul Syuhada dipercayai kali terakhir dikesan pada jam 5.30 pagi, pada 9 Oktober lalu.
“Remaja perempuan itu dilaporkan telah keluar dari Asrama Politeknik Ungku Omar dengan membawa beg pakaian.
“Nurul Syuhada yang bertubuh kurus itu beralamat di Bandar Botanic, Klang Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Difahamkan pelajar berkenaan turut membawa bersama komputer peribadi, kunci lokar, dan kad pelajar miliknya.
Dalam pada itu, Abang Zainal Abidin memberitahu, Ashwinia, yang juga pelajar Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tasek telah dilaporkan hilang pada 25 Disember lalu di Balai Polis Bercham.
Menurut beliau remaja perempuan berkenaan yang bertubuh kecil itu beralamat di Taman Syabas, dekat sini.
Pada masa sama Abang Zainal Abidin berkata, Shomina yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dilaporkan hilang pada 24 Disember lalu.
Kata beliau, remaja perempuan warga Myanmar itu beralamat di Jalan Pasir Puteh, dekat sini.
“Polis meminta kerjasama orang ramai sekiranya mempunyai maklumat dalam membantu pencarian pihak polis ini untuk menyalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: