Polis nafi tular 13 etnik Rohingya maut kemalangan

TAPAH – Polis menafikan terdapat 13 tahanan etnik Rohingya terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 335 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) seperti yang tular di media sosial sejak lewat malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, perkara itu tidak benar dan hanya seorang sahaja etnik Rohingya berusia 30-an yang meninggal dunia dalam kemalangan tersebut.

“Pada hari ini tular sebuah kenyataan di laman sosial terdapat 13 etnik Rohingya telah meninggal dunia dan polis menafikan kejadian tersebut seperti mana yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Justeru, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Depot Imigresen Sementara Bidor pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya menghentikan serta merta daripada terus menyebarkan perkara yang tidak benar atau sebarang maklumat palsu.

“Kita juga memohon orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut,” ujarnya.

Katanya, sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat hendaklah disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, Asisten Superintendan Noor Irwan Abd Ghani di talian 017-316 8097 atau IPD Tapah di talian 05-401 1222 atau balai polis berdekatan.

Terdahulu, tular kenyataan di sebuah laman sembang aplikasi WhatsApp berhubung dakwaan melibatkan 13 etnik Rohingya yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Dalam kejadian malam tadi, seramai 131 lelaki warga asing dari Myanmar termasuk etnik Rohingya merusuh dan meloloskan diri dari Blok Lelaki Depot Imigresen Sementara Bidor, dekat sini.

Daripada jumlah lelaki berkenaan, 115 terdiri daripada etnik Rohingya dan 16 orang merupakan warga Myanmar. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Polis sahkan 131 warga asing, termasuk Rohingya lolos dari depot Imigresen

Tambahan 100 anggota JIM, PGA jejak 130 tahanan Myanmar

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI