TELUK INTAN – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai ‘Himpunan Patriotik Rakyat’ anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dataran Menara Condong di sini Sabtu ini kerana ia tidak mendapat kebenaran berhimpun daripada polis.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pada 11 November lalu, polis telah menerima permohonan daripada pihak penganjur untuk mengadakan perhimpunan aman serta kebenaran mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada 16 November jam 5 petang sehingga 7 malam.
Menurutnya, susulan permohonan itu, pihak polis telah menampal satu notis pemberitahuan berhubung Himpunan Patriotik Rakyat itu di kawasan menara berkenaan bagi mendapatkan pandangan orang awam.
“Hasil pemakluman notis berkaitan penganjuran perhimpunan ini, pihak polis telah menerima maklum balas daripada pemunya kawasan tersebut iaitu Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).
“MPTI tidak memberi kebenaran kepada pihak penganjur untuk mengadakan perhimpunan tersebut atas faktor ketidak sesuaian tempat perhimpunan.
“Sehubungan itu, pihak penganjur gagal mengemukakan persetujuan pemunya atau pemilik tempat perhimpunan (MPTI) seperti termaktub di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 dan permohonan mereka tidak dapat diproses untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Justeru, beliau meminta orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan yang dirancang pada Sabtu ini bagi mengelakkan tindakan undang-undang yang boleh diambil di bawah APA 2012.
“Pihak polis memohon kerjasama daripada semua pihak untuk menghormati undang undang dan menjaga ketenteraman awam demi keselamatan dan keamanan masyarakat di kawasan Teluk Intan,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Himpunan Kibarkan Jalur Gemilang: Polis rakam percakapan lima individu