IPOH – Polis tidak menerima sebarang laporan berhubung pertengkaran mulut antara seorang anggota polis dengan orang awam di sini, sebagaimana dalam satu video tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, bagaimanapun pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas kejadian itu.
“Pihak polis sedang giat mengenal pasti individu yang terlibat, saksi kejadian dan punca sebenar insiden berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini, diminta tampil menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh di talian 05-2542222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya menerusi satu kenyataan malam tadi.
Tambah Abang Zainal Abidin, justeru orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kandungan video berkenaan sehingga menjejaskan siasatan pihak berkuasa.
Terdahulu tular rakaman video berdurasi 57 saat di TikTok memaparkan seorang lelaki sedang bertengkar dengan individu dipercayai anggota polis di jalan raya di hadapan sebuah restoran 24 jam. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Video tular: Polis kesan pemandu pacuan empat roda khianat langgar kereta