IPOH – Polis Perak masih belum menerima sebarang maklumat berkaitan pemandu ‘e-hailing’ atau e-panggilan dari Kuala Lumpur yang dikatakan hilang selepas menghantar penumpang ke Teluk Intan, minggu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, setakat ini tiada mana-mana pihak yang tampil memberikan maklumat berkaitan kes tersebut.
“Di Perak kita masih belum menerima laporan berkenaan kes yang berkaitan pemandu e-hailing itu.
“Jika kes (orang hilang) itu berlaku di negeri ini, maka sudah tentu kita beri kerjasama. Namun siasatan sudah tentulah dilakukan di bawah balai negeri berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, dekat sini, pada Khamis.
Media sebelum ini melaporkan, Syahrul Ashraf Dahlan, 33, yang menetap di Pandan Indah, Kuala Lumpur gagal dihubungi ahli keluarga termasuk isterinya sejak 11 Julai lalu.
Kali terakhir mangsa dikatakan memaklumkan kepada ahli keluarga melalui aplikasi WhatsApp bahawa dia akan menghantar penumpang ke Teluk Intan.
Susulan itu, satu laporan polis berhubung kehilangan itu telah dibuat di Balai Polis Pandan Indah, Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Mangsa yang mempunyai empat anak berusia sembilan hingga dua tahun dikatakan tidak pernah mengadu menghadapi sebarang masalah sebelum ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan: