Polis Perak lupus pelbagai jenis dadah bernilai RM26.14 juta 

IPOH – Polis Perak melupuskan peralatan memproses dan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM26.14 juta pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Perak Senior Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, antara dadah yang dilupuskan ialah heroin, ganja, syabu, ketamin, daun ketum, cecair ketum serta pelbagai jenis dadah dengan berat keseluruhan berjumlah 1,602.21 kilogram dan cecair 4,963 liter.

Menurutnya, dadah tersebut adalah hasil daripada serbuan dan rampasan yang dilakukan di 15 buah daerah serta telah selesai prosiding mahkamah.

“Pelupusan dadah itu membabitkan 5,483 kertas siasatan yang sudah selesai proses pendakwaan di mahkamah dari 2012 hingga 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah dan Ketum Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Khamis.

Mohammad Azlin berkata, barang kes dadah itu dilupuskan menggunakan khidmat Clinco Waste Management Sdn Bhd di Kawasan Taman Perindustrian Tungzen, Kampung Kepayang, di sini.

Polis Perak lupus pelbagai jenis dadah bernilai RM26.14 juta
Timbalan Ketua Polis Perak Senior Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari ketika melihat barang kes pada Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah dan Ketum Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Khamis. Foto Abdullah Yusof

Dalam perkembangan berasingan, Mohammad Azlin berkata, seramai 13,997 individu ditahan di sekitar Perak atas pelbagai kesalahan dadah bagi tempoh Januari sehingga 24 Ogos tahun ini.

Katanya, seramai 1,918 individu ditangkap, meningkat sebanyak 11 peratus berbanding 1,727 individu bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Daripada jumlah itu, seramai 351 orang ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala seramai 51 individu pula ditangkap di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

“Kebanyakan mereka adalah dalang atau perancang serta financier dalam sindiket yang telah ditumpaskan pada tahun ini,” jelasnya.

Ujar beliau, bagi tangkapan memiliki dadah, sejumlah 4,816 individu telah ditangkap manakala bagi tangkapan urin seramai 7,212 individu turut ditangkap sepanjang tempoh tersebut

“Jumlah rampasan bagi kes pengedaran dan memiliki telah menghasilkan rampasan pelbagai jenis dadah yang berjumlah kira-kira RM15.7 juta dengan syabu, ketamin dan heroin adalah rampasan tertinggi di negeri ini sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 4,827 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 4,714 kertas siasatan telah dituduh di mahkamah iaitu pencapaian sebanyak 98 peratus.

“Polis turut merampas pelbagai jenis harta benda daripada pengedar dadah yang ditangkap termasuk rumah, tanah, barang kemas, kenderaan dan akaun dalam bank bernilai RM6.3 juta di bawah Akta perlucuthakan Harta 1988,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Polis rampas 123.1kg dadah bernilai RM4.7 juta dalam but SUV

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI