IPOH – Polis Perak mempertingkat serta memperketat kawalan keselamatannya di 16 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan 107 balai polis di seluruh negeri ini susulan kejadian serangan yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya akan meningkatkan kawalan keselamatan terutamanya pada sebelah malam melibatkan dari segi pencahayaan di pintu masuk IPD dan balai.
Menurutnya, pihaknya juga akan melihat semula pagar sedia ada terutamanya yang sudah uzur dan mengalami kerosakan serta memperbaikinya bagi memperkukuhkan lagi tahap keselamatan di sekitar perimeter IPD ataupun keseluruhan balai.
“Menerusi mesyuarat yang diadakan bersama semua ketua jabatan serta Ketua Polis Daerah baru-baru ini, saya telah mengarahkan semua pihak untuk melihat semula penugasan-penugasan di semua IPD dan balai di seluruh kontinjen Perak.
“Kita akan kaji semula terutamanya dari segi kekuatan ataupun penugasan di sebelah malam, terutamanya pada jam 10 malam ke atas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menjelaskan bahawa individu yang datang ke IPD atau balai polis untuk sebarang urusan perlu diperiksa dengan lebih terperinci.
“Orang ramai yang datang ke IPD ataupun ke balai ini terutamanya selepas jam 10 malam dan ke atas mestilah diperiksa dengan lebih ketat dan apakah tujuan mereka datang ke balai.
“Selain itu, kita juga akan memeriksa mereka jika ada membawa apa-apa bungkusan ataupun beg yang dibawa bersama mereka.
“Justeru, kita akan mempertimbangkan untuk menambah kekuatan keanggotaan dan petugas sebelah malam jika perlu,” jelasnya yang memberitahu Polis Perak mempunyai 9,163 pegawai, anggota termasuk kakitangan awam.
Sehubungan itu, Mohd Yusri berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama yang lebih erat dengan pihak polis bagi memastikan keselamatan ketenteraman awam dipelihara dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Dalam kejadian Jumaat lalu, seorang lelaki berusia 21 tahun telah menyerang Balai Ulu Tiram, Johor sehingga mengakibatkan dua anggota polis terkorban dan seorang cedera lagi tercedera sementara suspek turut ditembak mati.
Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said, 24 dan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, terkorban dalam insiden serangan kira-kira jam 2.45 pagi.
Dalam insiden kedua di Pulau Pinang, seorang lelaki telah menceroboh dan cuba merampas senjata submesingan jenis HK MP5 milik seorang anggota polis di Balai Dato’ Keramat semalam namun gagal selepas dia berjaya ditangkap pada hari sama. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kes serangan balai polis, tujuh direman esok