TAPAH – Kawalan keselamatan sekitar Bukit Bangkong Tanah Hitam, di Chemor dipertingkatkan bagi memastikan tiada pemburu haram atau mana-mana individu memasuki kawasan tersebut.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, ia susulan laporan mengenai kemunculan harimau yang didakwa membaham ternakan penduduk awal Disember lalu.
Menurut beliau, kawalan berkenaan dijalankan secara bekerjasama melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.
“Kita akan memastikan rondaan akan terus dibuat dengan kerjasama Perhilitan untuk memastikan kawasan itu bebas daripada pihak-pihak yang tiada kepentingan atau keperluan di situ.
“Kawalan dibuat oleh Perhilitan dan Balai Polis Tanah Hitam yang akan terus memantau melalui rondaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi PERKEP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan IPD Tapah, di sini, pada Selasa.
Ditanya mengenai berapa lama penutupan kawasan Bukit Bangkong bagi aktiviti riadah Noor Hisam berkata, ia bergantung kepada situasi atau sehingga harimau berkenaan ditemui dan ditangkap.
Mengulas lanjut Noor Hisam berkata, sehingga kini tiada insiden baharu atau serangan terhadap manusia mahupun ternakan dilaporkan, namun haiwan tersebut dipercayai masih bersembunyi dan berlegar di sekitar kawasan hutan sama.
“Perhilitan telah menggerakkan pasukan pakar serta memasang jerat dan umpan bagi menjejak serta menangkap haiwan ini.
“Kita harap jerat yang dipasang berjaya mengumpan harimau keluar dari kawasan persembunyiannya,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Noor Hisam mengesahkan pihaknya menerima laporan serangan haiwan liar dipercayai harimau yang mengakibatkan dua lembu ternakan mati dan lima lagi hilang di Bukit Bangkong, Tanah Hitam, di Chemor, Jumaat lepas.
Noor Hisam berkata insiden itu dimaklumkan sekitar 6.30 petang oleh seorang lelaki yang menemui dua lembu miliknya mati dengan kesan gigitan manakala beberapa ternakan lain tidak dapat dikesan. -MG Perak


