Polis rampas 123.1kg dadah bernilai RM4.7 juta dalam but SUV

IPOH – Polis merampas sebanyak 123.1 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM4.7 juta di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang ditinggalkan di tepi jalan berhampiran loji kawasan perumahan di Taman Pulai Savana, Gerik pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, rampasan itu dilakukan oleh Unit Kereta Peronda (MPV) dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

Menurutnya, SUV jenis Honda HRV itu ditemui dalam keadaan berkunci tanpa pemandu dan penumpang.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas kenderaan itu menemui 80 peket plastik lutsinar berisi dadah jenis methamphetamine seberat 82,800 gram dan 39 peket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis ketamin dengan berat 40,365 gram.

“Kesemua dadah yang ditemui di bahagian but SUV tersebut dianggarkan bernilai RM4,667,850,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini pada Rabu.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati nombor casis kenderaan tersebut telah dipotong dan nombor enjin telah diganggu.

“Semakan lanjut dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati pemilik berdaftar adalah seorang jururawat yang beralamat di Serdang serta nombor casis, enjin wujud dan dipercayai kereta klon,” ujarnya.

Noor Hisam berkata, dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara melalui Gerik dan bertujuan untuk diedarkan di sekitar Perak serta negeri-negeri bersempadan serta mampu digunakan 350,000 orang penagih dadah.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pasangan kekasih antara ditahan edar dadah RM4.6 juta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI