Polis rampas 137 mesin bitcoin dalam serbuan tiga premis

IPOH – Polis berjaya merampas 137 unit mesin bitcoin dalam serbuan di tiga premis yang dijadikan premis melombong bitcoin di sekitar Jelapang dan Bercham, dekat sini selama dua hari bermula Khamis.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata, mesin-mesin bitcoin yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM68,500 dan didapati mampu mengaut keuntungan sehingga RM164,400 sebulan.

“Serbuan bersama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapati sindiket yang terlibat telah membuat penyambungan haram ke atas bekalan elektrik ke bangunan yang dijadikan sebagai premis melombong bitcoin tersebut.

“Ia menyebabkan pihak TNB mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM45,294.28,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Jelas Mohd Yusri lagi, jika disabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000, atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis jika mengesan terdapat individu atau premis yang disyaki melakukan kesalahan jenayah.

“Pemilik bangunan yang menyewakan premis turut disaran untuk mengambil tahu aktiviti yang dilakukan penyewa premis agar tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh menyalahi undang-undang.

“Masyarakat boleh mendapatkan bantuan khidmat polis dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang beroperasi 24 jam di talian 05-2542222,” ujarnya lagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Polis Manjung lupus barang kes nilai RM1.16 juta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI