TELUK INTAN – Polis merampas 41 unit mesin melombong Bitcoin yang dipercayai beroperasi secara haram serta terlibat dalam kegiatan mencuri eletrik dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Teluk Intan.
Serbuan tersebut telah dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dengan kerjasama juruteknik khas Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kawasan Utara bermula semalam sehingga awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, pihaknya serbuan itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam berkaitan kegiatan melombong Bitcoin secara haram.
“Hasil serbuan pertama yang dijalankan pada malam tadi, polis telah merampas sebanyak 24 unit mesin disyaki digunakan bagi kegiatan melombong Bitcoin.
“Seterusnya, dua lagi serbuan pada awal pagi ini (Sabtu) yang telah membawa kepada rampasan sembilan unit mesin dan lapan unit mesin dipercayai digunakan bagi tujuan sama.
“Kesemua rampasan dipercayai berkait dengan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 iaitu melibatkan kerosakan serta penyalahgunaan bekalan elektrik.
“Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu atau sindiket yang terlibat,“ katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti melombong mata wang kripto secara haram kerana perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan undang-undang serta boleh mendatangkan risiko keselamatan dan kerugian harta benda.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
8 lelaki ditahan, 226 mesin perlombongan Bitcoin haram dirampas


