IPOH – Polis mengesahkan pemilik kamera papan pemuka (dashcam) yang merakam nahas melibatkan kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik di sini, pada Isnin telah tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya akan mengambil keterangan individu terbabit bagi melengkapkan kertas siasatan.
Menurutnya, difahamkan rakaman video adalah didakwa yang tular di media sosial.
“Setakat ini, rakaman dashcam tersebut telah diserahkan kepada pegawai penyiasat yang bertanggungjawab.
“Kita akan guna itulah (rakaman dashcam) dan merekodkan keterangan pemilik dashcam terbabit,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan terdapat beberapa faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada kemalangan tersebut antaranya keadaan jalan yang gelap dan tiada garisan penanda di jalan berkenaan, selain laluan menurun serta curam.
“Saya sendiri telah meninjau lokasi kejadian dan mendapati keadaan jalan amat gelap dan tiada sebarang garisan penanda. Ia sememangnya berisiko tinggi kepada kenderaan berat,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bas yang membawa pelajar UPSI itu dilaporkan terbabas, terbalik dan bergesel dengan bahu jalan.
“Bas terbabit telah melanggar penghadang besi di tepi jalan dan mangsa yang maut dipercayai duduk di bahagian kiri bas dan ditemukan di dalam longkang bersebelahan lokasi kejadian,” ujarnya. – MG Perak