Polis sahkan terima laporan murid dipukul guru

BAGAN SERAI – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung seorang murid berusia 11 tahun yang didakwa dipukul oleh guru sekolahnya yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis daripada ibu kepada murid terbabit (pengadu) yang mendakwa anaknya cedera akibat dipukul seorang guru lelaki berusia 30 tahun pada 10 Disember lalu.

Beliau berkata, pengadu kemudiannya telah menarik semula laporan polis yang dibuat pada 11 Disember lalu dan enggan memanjangkan kes berkenaan.

“Bagaimanapun, baru-baru ini pengadu sekali lagi tampil membuat satu laporan polis memohon pihak polis meneruskan siasatan dan mahu tindakan lanjut diambil ke atas guru lelaki terbabit,“ katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara hingga satu tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan selanjutnya,“ jelasnya.

Sehubungan itu, Juna meminta supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Ujarnya, sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat mereka boleh menghubungi Bilik Gerakan (IPD) Kerian di talian 05-721 2222.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai seorang murid lelaki berusia 11 tahun yang didakwa dicederakan guru sekolahnya akibat salah faham sehingga kanak-kanak itu mengalami kecederaan di pipi, hidung, telinga, kepala dan leher. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kanak-kanak prasekolah dakwa dipukul: Polis rakam keterangan guru

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI