IPOH – Polis akan menyerahkan kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk tindakan selanjutnya berhubung kes khatib yang tidak membaca teks khutbah Jumaat yang disediakan pihak berkuasa agama negeri ini.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, setakat ini pihaknya telah menerima dua laporan polis berhubung perkara tersebut semalam.
“Dua laporan polis telah diterima pada 2 Februari di Balai Polis Teluk Intan dan telah dirujuk kepada JAIPk untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, bekas ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim telah membuat laporan polis berhubung tindakan seorang imam di sebuah masjid di Teluk Intan yang didakwa tidak membaca teks khutbah disediakan JAIPk pada Jumaat lalu.
Katanya, laporan polis itu dibuat selepas imam terbabit mengakui membaca teks khutbah yang disediakan pada tahun 2023, bukan teks khutbah terkini.
Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Jumaat dilaporkan berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepada JAIPk bagi menyiasat dakwaan seorang khatib yang dikatakan tidak membacakan teks khutbah Jumaat yang disediakan pihak berkuasa agama negeri ini.
Beliau berkata, perkara berkenaan seharusnya tidak timbul kerana setiap teks khutbah Jumaat telah disiapkan lebih awal iaitu kira-kira sebulan atau dua bulan sebelum ia diterbitkan untuk edaran. – MG Perak
Artikel Berkaitan: