IPOH – Polis sedang menyiasat insiden provokasi melibatkan seorang pekerja restoran dan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Menglembu yang tular di media sosial pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, polis telah menerima satu laporan daripada anggota penguat kuasa MBI berusia 40 tahun sekitar jam 6.43 petang.
“Siasatan awal mendapati ketika kejadian, pengadu bersama pasukan penguat kuasa sedang menjalankan tugas sitaan kerusi dan meja berdasarkan aduan daripada Jabatan Kesihatan MBI.
“Sewaktu mereka menjalankan tugas tersebut, telah berlaku provokasi oleh salah seorang pekerja restoran berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau suspek kemudiannya bertindak mengeluarkan kata-kata kesat selain cuba menghalang anggota penguat kuasa daripada menjalankan tugas rasmi dan salah seorang anggota penguat kuasa telah ditumbuk oleh individu terbabit.
Beliau memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 353/186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil iaitu menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan atau menghalang penjawat awam daripada menjalankan kewajipan serta mengeluarkan kata-kata kesat.
“Polis kini sedang merakam keterangan daripada saksi-saksi yang terlibat bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil memberikan keterangan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Sheikh Fateeha Iman di talian 010-290 8095 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,“ jelasnya.
Sehubungan itu, Abang Zainal Abidin menasihatkan orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta mengelakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan masyarakat.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan pertengkaran mulut antara pekerja restoran dan penguat kuasa MBI.
Bagaimanapun, suasana menjadi tegang apabila berlaku provokasi daripada individu yang enggan memberi kerjasama. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dakwaan ugutan guna senjata, polis akan rakam keterangan ADUN Hulu Kinta