GERIK – Polis sedang menyiasat dua kejadian cubaan culik melibatkan dua pelajar sekolah dengan menggunakan van berwarna putih dipercayai dari Thailand di jalan berhampiran Tanah Perkuburan Kampung Padang dekat sini.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun berdepan detik cemas itu ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya di kampung berkenaan sekitar jam 3.20 petang pada Selasa.
Katanya, hasil maklumat, ketika itu mangsa yang sedang berjalan kaki telah dihimpit dengan sebuah van berwarna putih dengan menggunakan nombor pendaftaran jiran.
“Beg mangsa ditarik dua lelaki dewasa tidak dikenali yang mengenakan pelitup muka. Mangsa telah terseret sehingga terjatuh ke jalan berhampiran Tanah Perkuburan Kampung Padang.
“Namun, mangsa telah diselamatkan oleh abang kandungnya yang tiba di situ dengan menendang salah seorang suspek. Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dengan menggunakan van tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Menurut beliau, seorang lagi remaja perempuan berusia 14 tahun turut berdepan detik cemas sama sekitar jam 6.45 pagi, pada hari sebelumnya, di lokasi sama.
Ujar Zulkafli, mangsa ketika itu sedang dalam perjalanan menuju ke sekolah dengan menunggang sebuah basikal.
“Dalam kejadian, sebuah van warna kelabu telah berhenti di hadapannya sementara sebuah lagi van warna putih menggunakan nombor pendaftaran negara jiran menghimpit di bahagian sebelah kanan.
“Kedua-dua kenderaan itu kemudian mengikuti mangsa sehingga sampai di jalan raya hadapan Tanah Perkuburan Kampung Padang.
“Semasa kejadian tersebut, terdapat seorang wanita yang dikenali melihat kejadian tersebut dan telah memanggil mangsa. Perbuatan wanita tersebut telah menyebabkan kedua-dua van itu beredar,” jelasnya.
Menurut Zulkafli, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung dua kejadian cubaan culik itu selepas menerima dua laporan polis pada Rabu.
Justeru itu ujar beliau, pihaknya juga sedang giat mengesan saksi dan suspek untuk membantu siasatan.
Di samping itu kata beliau, sebagai langkah proaktif, pihak polis menjalankan rondaan pencegahan jenayah di kawasan sekolah, kampung dan kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya kejadian jenayah.
“Pihak polis menasihatkan agar ibu bapa atau penjaga memberi perhatian yang lebih terhadap keselamatan anak-anak dengan menghantar dan mengambil mereka sendiri dari sekolah bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.
“Ibu bapa dan penjaga juga perlu menasihatkan anak-anak agar tidak mengikuti atau menghampiri orang yang tidak dikenali.
“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut untuk tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” tambahnya.
Terdahulu tular tangkap layar mesej dari kumpulan sembang aplikasi WhatsApp yang mendakwa berlaku kejadian cubaan culik pelajar sekolah menggunakan van dipercayai dari Thailand. – MG Perak
Saya cadangkan untuk pihak polis membuat rondaan sewaktu pelajar sekolah sedang datang ke sekolah dalam pukul 6:30 sehinggga 7:30 Dan membuat rondaan waktu balik pelajar sekolah pada pukul 1:40 sehingga 2:40 membuat rondaan secara berulang ulang kali untuk mengurangkan risiko yang tidak diigini