Polis siasat lelaki menyamar doktor perdaya pelajar hantar gambar bogel

MANJUNG – Polis membuka kertas siasatan susulan kes melibatkan dua pelajar perempuan berusia 15 tahun yang mendakwa diperdaya untuk menghantar gambar bogel kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, remaja itu dihubungi melalui aplikasi Telegram oleh individu yang mendakwa dirinya seorang guru.

Menurutnya, ‘guru’ terbabit kemudiannya memperkenalkan mereka kepada seorang lelaki lain yang mendakwa dirinya seorang pegawai perubatan.

“Pada mulanya, lelaki terbabit meminta mangsa untuk memberikan maklumat diri dan keluarga.

“Kemudian, mangsa diminta untuk menghantar beberapa keping gambar tidak berpakaian lengkap kepada individu tersebut bagi tujuan pemeriksaan kanser serviks dan payudara hanya menggunakan gambar mangsa sahaja.

“Mangsa yang menyedari telah ditipu terus membuat laporan polis kerana bimbang gambar-gambar mangsa tersebar,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan kesalahan menggunakan kanak-kanak untuk penghasilan kandungan seksual.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat khususnya ibu bapa dan pendidik supaya sentiasa berwaspada berhubung isu semasa melibatkan kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak.

“Kanak-kanak dan pelajar sekolah harus sentiasa diingatkan supaya tidak mudah berkongsi maklumat peribadi dengan individu yang tidak dikenali.

“Justeru, orang ramai digesa supaya mengaktifkan ciri pengesahan dua langkah pada aplikasi pesanan bagi melindungi akaun mereka,” ujarnya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Nur Munawarah Ahmad di talian 011-1624 0391, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di 05-688 6222, atau talian WhatsApp Hotline 017-682 8005. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pegawai biologi marin rugi RM500,000 ditipu ‘scammer’ menyamar polis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI