TAIPING – Polis menahan empat lelaki selepas disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri kabel di Jalan Kamunting – Batu Kurau, berhampiran Kolej Vokasional Taiping dekat sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, kesemua suspek yang berusia antara 38 dan 41 tahun ditahan selepas menerima maklumat daripada orang awam tentang kejadian itu pada jam 1.50 pagi.
Katanya, pihaknya dimaklumkan terdapat sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang membuka penutup lubang kabel di tepi jalan.
“Pasukan polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya membuat tangkapan terhadap empat lelaki di lokasi kejadian
“Turut dirampas, peralatan untuk membuka penutup lubang kabel, dua bilah parang, dua unit pemutar skru dan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang digunakan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mohamad Nasir berkata, keempat-empat suspek direman selama tiga hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan di bawah Sekksyen 379/511 Kanun Keseksaan.
“Polis Daerah Taiping merakamkan penghargaan kepada seorang remaja yang menyalurkan maklumat (tentang kejadian) dan bekerjasama dengan pihak polis.
“Justeru, penduduk Taiping diseru, agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
SUV terbabas bawa penemuan kes curi kabel


