IPOH – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh ibu saudaranya di sebuah rumah di Taman Puteri Lindungan Bintang, Pasir Puteh, di sini, pada Ahad.
Mangsa berusia 54 tahun ditemukan dalam keadaan hampir reput dan membusuk dalam sebuah bilik di rumah tersebut.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, sebelum itu pihaknya menerima maklumat berkenaan penemuan seorang wanita yang tidak sedarkan diri pada jam 8.30 pagi Ahad.
Katanya, susulan itu pihak polis telah menghantar mayat mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi dijalankan bedah siasatan untuk mengetahui punca kematian.
Ujar beliau, tindakan pantas siasatan polis membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 21 tahun yang juga anak saudara mangsa bagi membantu siasatan.
“Permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Ipoh, pada 11 November (Isnin). Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tiada rekod lampau jenayah.
“Polis menjalankan siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Tambah Abang Zainal Abidin, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asistan Superintenden S Dasarathan di talian 012-5644484 atau di mana-mana balai polis berhampiran.
Difahamkan, suspek tinggal bersama ibu saudaranya di rumah berkenaan dan mereka berdua dikatakan sering bertengkar.
Namun sejak beberapa hari lalu, jiran terdekat tidak lagi mendengar pergaduhan antara suspek dan mangsa.
Menurut sumber, maklumat berkaitan mangsa yang terkurung di dalam bilik itu dimaklumkan sendiri oleh suspek kepada bapa saudaranya sebelum lelaki itu melaporkan hal berkenaan kepada polis.
Juga difahamkan, punca kejadian kerana suspek tertekan kerana dikongkong oleh mangsa.- MG Perak
Artikel Berkaitan: