TELUK INTAN – Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki terlibat dengan kegiatan kecurian kabel milik Telekom Malaysia Berhad (TM) di kawasan kebun kelapa sawit di Bandar Lagenda di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, suspek berusia 23 tahun ditahan ketika sepasukan anggota dari Balai Polis Teluk Intan sedang menjalankan tugas Ronda Cegah Jenayah / Op Lejang sekitar jam 11 malam.
“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek tidak menemui sebarang barang salah.
“Walau bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di lokasi suspek berada telah menjumpai satu beg guni yang mengandungi pelbagai wayar tembaga yang telah dibakar dan disyaki milik TM,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Beliau berkata, suspek disyaki telah melakukan kegiatan mencuri kabel di sekitar Teluk Intan dan seterusnya membakar kabel tersebut di kawasan di Bandar Lagenda.
Menurut Kok Lian, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif, walau bagaimanapun semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes narkotik.
“Suspek bersama barang-barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk tindakan lanjut.
“Kes kini masih dalam siasatan lanjut oleh pihak polis di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.
Jelas beliau, lelaki terbabit juga telah dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan dan dibenarkan ditahan reman selama empat hari sehingga 27 Mac. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika cuba curi kabel TNB


