IPOH – Polis Perak menahan seorang lelaki kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Rishah, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh selepas menerima maklumat berhubung kegiatan tersebut.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di sebuah rumah kosong di hadapan rumah suspek ditahan, pihak polis telah menjumpai dan merampas beberapa jenis dadah yang diletakkan dalam peket plastik lut sinar.
“Antara dadah yang dirampas adalah methamphetamine, ketamin, heroin, dan ketulan daun mampat disyaki ganja dengan anggaran jumlah berat keseluruhan lebih dua kilogram.
“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM125,015,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun semakan rekod menunjukkan lelaki itu mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
“Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 apabila polis menyita sebuah kereta jenis Honda Accord dengan anggaran nilai RM40,000.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah bersama harta yang disita adalah RM165,115,“ ujarnya.
Katanya, berdasarkan siasatan yang dijalankan, aktiviti pengedaran dadah ini dipercayai mula aktif sejak awal bulan Jun 2024 sehingga kini dan dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di negeri Perak.
“Dianggarkan jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 2,000 orang penagih dadah,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 akta sama, manakala suspek direman selama tujuh hari mulai 4 hingga 10 September ini bagi membantu siasatan.
Noor Hisam berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dengan pihak penguatkuasaan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Justeru, PDRM Perak menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang informasi berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah agar tindakan pembanterasan dapat terus dipertingkatkan bagi memastikan Perak bebas daripada jenayah ini,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis Perak lupus pelbagai jenis dadah bernilai RM26.14 juta