IPOH – Polis menahan seorang mekanik selepas didakwa memukul anjingnya dengan menggunakan sebatang tukul besi sebagaimana dalam video tular di media sosial, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, lelaki yang berusia 42 tahun tahun ditahan di kediamanya di Taman Ria, di Bercham dekat sini, sekitar jam 3 petang, bagi membantu siasatan.
Katanya, sebelum itu pihaknya mengesan rakaman video berdurasi 43 saat pada laman Facebook ‘Malaysian Dogs Deserve Better’ yang memaparkan kejadian penganiayaan terhadap haiwan perliharaan di rumahnya.
“Anjing tersebut telah diselamatkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak bagi tujuan rawatan.
“Hasil semakan rekod jenayah ke atas suspek mendapati mempunyai empat rekod lampau kesalahan jenayah dan 17 rekod lampau kesalahan narkotik,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati anjing berkenaan telah dipukul oleh suspek yang mempunyai lesen sah ke atas haiwan peliharaan berkenaan.
Justeru Abang Zainal berkata, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 44 Akta Binatang 1953/233 iaitu kesalahan menganiaya dan khianat terhadap haiwan.
“Polis menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak menganiaya dan khianat terhadap haiwan kerana ia merupakan satu kesalahan serta boleh diambil tindakan mengikut undang-undang.
“Jika terdapat sebarang insiden melibatkan gangguan haiwan, orang ramai diminta untuk berhubung dengan pihak berkuasa tempatan atau Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.
Terdahulu laman Facebook Malaysian Dogs Deserve Better memuat naik video yang memaparkan kejadian seorang lelaki memukul seekor anjing dengan menggunakan tukul besi di hadapan sebuah rumah di Bercham.
Pada video berkenaan, kelihatan lelaki tersebut cuba mengayun tukul berkenaan beberapa kali sebelum mengenai anjing yang sedang ditambat itu. – MG Perak
Artikel Berkaitan: