TELUK INTAN – Tindakan seorang penganggur menconteng Jambatan Besi Kereta Api Lama Kampung Bahagia, dekat sini mengundang padah apabila ditahan polis pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan ketika sedang melakukan aktiviti berkenaan di jambatan berkenaan.
Katanya, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis berjaya menahan suspek selepas menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 10 malam.
“Sebanyak empat tong cat pelbagai warna turut dirampas bersama suspek. Hasil soal siasat awal, suspek mengaku terlibat dalam kes ini.
“Hasil Saringan awal suspek didapati positif ganja (THC). Hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau jenayah dari tahun 2012 sehingga 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah Ahmad Adnan, Mahkamah Majistret Teluk Intan membenarkan suspek direman selama tiga hari sehingga 6 November untuk siasatan lanjut.
Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Kata beliau lagi, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan.
“Pihak polis menasihati dan mengingatkan kepada orang ramai agar tidak mengkhianati harta benda awam.
“Kesedaran dan tanggungjawab bersama adalah penting untuk menjaga kebersihan dan Keselamatan masyarakat,” tambah beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: