KOTA KINABALU – Polis menahan seorang lelaki berusia 61 tahun di Semporna pagi ini kerana disyaki mengugut pakar patologi yang terlibat dalam inkues Zara Qairina Mahathir.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata tangkapan dilakukan kira-kira 7 pagi di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
Beliau berkata, pada Jumaat lepas polis menerima laporan mengenai kenyataan di laman Facebook yang mengandungi ugutan jenayah terhadap pakar patologi Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Dr Jessie Hiu.
“Hasil semakan awal ke atas sebuah telefon bimbit jenama Redmi yang dirampas mendapati suspek adalah pemilik akaun Facebook ‘Amung Kamaruddin’ yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap pakar patologi terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jauteh berkata kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab, serta mengelak kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menimbulkan keresahan masyarakat.
— BERNAMA