Polis tahan tiga lelaki disyaki terlibat insiden baling bom petrol

IPOH – Polis menahan tiga lelaki tempatan pada Rabu selepas disyaki terlibat dalam insiden sebuah rumah dibaling bom petrol di Bercham dekat sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa berhubung kejadian yang dipercayai berpunca daripada kegiatan pinjaman wang tanpa lesen atau ‘along’ pada jam 9.17 malam Selasa.

Menurut Azizi, bertindak atas maklumat berkenaan, polis berjaya memberkas tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 30 tahun antara jam 11.30 pagi hingga 1.40 tengah hari, di dua lokasi berasingan di Pasir Gudang, Johor Bahru.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine, sementara hasil semakan mendapati ketiga-tiga mereka mempunyai pelbagai rekod lampau.

“Suspek berusia 30 tahun mempunyai lima rekod berkaitan jenayah dan lima rekod dadah, sementara suspek berusia 27 tahun mempunyai satu rekod jenayah dan tiga rekod dadah lampau.

“Manakala suspek berusia 26 tahun memiliki satu rekod jenayah dadah lampau.” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Tiga lelaki suspek polis perak bercham azizi rekod dadah jenayah bom petrol
Lokasi kejadian insiden bom petrol dibaling di sebuah rumah di Bercham. Foto IHSAN POLIS PERAK

Tambah Azizi, hasil siasatan awal mendapati, kesemua mereka menerima upah sebanyak RM1,000 daripada seorang lagi suspek yang dipercayai masih bebas dan polis masih memburu individu berkenaan.

Ujar beliau, ketiga-tiga suspek direman selama lima hari bermula Khamis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat dengan api.

“Ekoran dari kejayaan penangkapan suspek, pihak polis mempercayai telah dapat menyelesaikan beberapa kes khianat dengan api di sekitar Ipoh.

“Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati semasa berurusan membuat pinjaman wang dengan mengelakkan dari membuat pinjaman menggunakan perkhidmatan pinjaman wang tidak berlesen atau tidak sah di sisi undang-undang,” katanya lagi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lelaki tolak isteri jatuh gaung, ugut bunuh ditahan polis

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI