Polis tahan ‘transporter’, rampas rokok seludup bernilai RM700,000

TELUK INTAN – Polis berjaya menumpaskan satu kegiatan penyimpanan dan pengedaran rokok seludup melibatkan nilai rampasan berjumlah RM700,000 menerusi Op Kontraban yang dijalankan di sekitar Teluk Intan, Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, hasil operasi tersebut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang disyaki bertindak sebagai penghantar bagi sindiket tersebut.

Menurutnya, tiga serbuan berasingan dilakukan hasil maklumat awal dan soal siasat terhadap suspek, yang membawa kepada penemuan sejumlah besar rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai dan tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Dalam serbuan itu, polis merampas lebih 130 kotak serta beberapa guni yang berisi lebih 65,000 bungkus rokok pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM700,000.

“Turut dirampas ialah beberapa batang anak kunci, alat kawalan jauh pintu premis, dua telefon bimbit, serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dipercayai digunakan untuk penghantaran rokok seludup,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, manakala suspek direman selama 14 hari bermula 19 Oktober hingga 1 November lalu di bawah Seksyen 116C akta sama bagi membantu siasatan lanjut.

“Kita sedang berusaha mengenal pasti pemilik sebenar rokok seludup tersebut serta menjejak individu lain yang dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata, polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan atau pengedaran barangan tanpa cukai yang boleh menjejaskan hasil negara.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan kepada pihak polis boleh menyalurkannya di balai berhampiran atau melalui talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di talian 05-6212222. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lelaki maut kereta bertembung lori simen

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI