SUNGAI SIPUT – Seorang wanita tempatan ditahan polis bersama 66 kilogram (kg) daun ketum dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Suak Plang, Sungai Siput (Utara), pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Charan Ai Wan berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput kira-kira jam 5 petang.
Katanya, hasil pemeriksaan di rumah terbabit, pihak polis berjaya menemukan tujuh bungkusan plastik hitam berisi daun disyaki ketum dengan anggaran berat 66kg.
“Turut ditemukan tiga tong, 600 bungkusan plastik lutsinar mengandungi cecair disyaki air ketum dengan anggaran jumlah keseluruhan 600 liter. Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM20,640.
“Seorang wanita berusia 39 tahun telah ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Charan berkata, keputusan ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas supek wanita tersebut adalah negatif.
Namun kata beliau, hasil semakan lanjut mendapati wanita terbabit mempunyai satu rekod lampau dan pernah dituduh di mahkamah di bawah seksyen yang sama dalam penjualan air ketum.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama yang berterusan di antara masyarakat dengan agensi penguatkuasaan khususnya pihak polis.
“Orang ramai diminta untuk terus menyalurkan sebarang informasi berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah atau air ketum, agar tindakan membanteras dapat dipertingkatkan bagi memastikan Sungai Siput bebas daripada jenayah ini,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: