KUALA LUMPUR – Polis telah menerima laporan berhubung sekumpulan individu sedang berzikir dalam keadaan pelik di sebuah tanah perkuburan di Setapak, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan dariada orang awam pada jam 10.05 pagi.
“Kita telah menerima satu laporan berkaitan video tular kumpulan berkenaan sedang berzikir dalam keadaan pelik di sebuah kubur di Setapak.
“Kes terbabit sudah dirujuk ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular rakaman di aplikasi Tik Tok, memaparkan sekumpulan individu berpakaian serba putih sedang berzikir dalam keadaan pelik di Tanah Perkuburan Danau Kota, Setapak.
Situasi itu menimbulkan pelbagai reaksi netizen yang bimbang dengan penyebaran ajaran sesat yang berlaku di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette