IPOH – Tiga lelaki diberkas dalam dua kes berasingan kerana terlibat dalam sindiket pengedaran dadah pelbagai jenis di Taiping dan Batu Gajah pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, dalam kes pertama seorang lelaki berusia 34 ditahan di sebuah rumah di Taman Damai, Simpang di Taiping sekitar jam 1 petang kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut menemui 14 peket lutsinar mengandungi 13.6 kiolgram dadah jenis ganja.
“Susulan penahanan itu membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek lelaki berusia 45 tahun di sebuah rumah di Kampung Pinang, Kamunting.
“Hasil pemeriksaan di rumah itu kita menemui ganja seberat 10.7 gram,“ katanya pada sidang media kejayaan Op Tapis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Kompleks Latihan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Jalan Pasir Puteh, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, dadah yang dipercayai untuk pasaran utara itu berjumlah RM37,700 dan boleh digunakan 9,111 penagih.
“Siasatan lanjut mendapati sindiket tersebut dipercayai bergiat aktif sejak Februari tahun ini,“ ujarnya.
Katanya, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek pertama tiada rekod manakala seorang lagi suspek mempunyai tiga rekod lampau kes jenayah dan dadah.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis ganja.
“Oleh itu, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 akta yang sama.
“Tindakan turut diambil dibawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 selepas sebuah motosikal bernilai RM3,000 turut disita dalam serbuan itu,” jelasnya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohammad Azlin berkata, seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan di sebuah pondok di kawasan lombong di Kampung Ara Payung, Batu Gajah dekat sini.
“Hasil pemeriksaan di pondok tersebut kita telah menemui tiga peket plastik lutsinar mengandungi heroin seberat 2.38 gram dan satu peket plastik lutsinar mengandungi methamphetamine dengan berat 0.6 gram yang dianggarkan bernilai RM22,917.
“Sebuah motosikal bernilai RM2,594 turut dirampas dalam serbuan itu dan sindiket ini dipercayai aktif sejak empat bulan lalu serta dadah tersebut adalah untuk pasaran Batu Gajah,” katanya.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Suspek juga mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: