GOPENG – Platform digital dalam memudahkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memohon peruntukan bagi melaksanakan sebarang aktiviti di negeri ini dijangka dilancarkan selepas Hari Raya Aidilfitri.
Exco Komunikasi Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, platform tersebut akan dilancarkan di bawah Portal Perak Digital 2.0 selepas sesi libat urus bersama beberapa pihak selesai.
“Aplikasi tersebut sudah siap dan kita akan lancarkan Portal Perak Digital 2.0 dalam masa terdekat memandangkan ada libat urus perlu dilaksanakan bersama dengan pejabat kewangan dan sebagainya.
“Ada sedikit cabaran bagi saya untuk kita mendigitalkan keseluruhan dokumen dan kita perlukan sedikit masa, tapi Perak Digital 2.0 aan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini platform digital berkenaan yang sepatutnya dilancarkan Januari lalu.
Terdahulu Mohd Azlan hadir pada Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama anjuran Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tualang Sekah di Pasaraya Mydin, RTC Gopeng, di sini, pada Ahad.
Dalam program itu, seramai 214 individu kalangan golongan B40 diraikan menerusi pemberian baucar RM150 kepada setiap penerima bagi penyediaan kelengkapan Aidilfitri tahun ini.
Media pada Disember tahun lalu melaporkan Mohd Azlan berkata platform yang akan dikawal selia oleh pihak Digital Perak itu sudah disiapkan hampir 90 peratus dan dijangka dilancarkan Januari 2024.
“Sementara ini semua permohonan peruntukan dihantar secara manual bersama surat permohonan ke pejabat saya untuk disemak sebelum diberi kelulusan.
“Namun kita kini sedang menyiapkan sebuah platform digital yang dijangka beroperasi Januari tahun hadapan yang mana pemohon tidak perlu lagi menulis surat selain menjimatkan masa dan sebagainya,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan: