KUALA LUMPUR – Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Dr Loga Bala Mohan menyambut baik jaminan Kementerian Pendidikan bahawa semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang memperoleh 10A ke atas serta memohon program matrikulasi akan ditawarkan tempat bagi sesi 2026/2027.
Beliau berkata, pengumuman seramai 6,717 calon cemerlang akan menerima tawaran secara automatik tanpa mengira kaum dan latar belakang merupakan langkah progresif yang wajar dipuji.
“Ini adalah satu perkembangan positif ke arah keadilan dalam pendidikan, selaras dengan prinsip yang sekian lama diperjuangkan PPP iaitu akses kepada pendidikan mesti berasaskan merit, selain bebas daripada pertimbangan kaum atau agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pendekatan itu mencerminkan perubahan penting ke arah peluang yang lebih saksama kepada semua pelajar di negara ini.
Dalam masa sama, Loga Bala menggesa kerajaan supaya memperluaskan dasar berasaskan merit itu kepada kemasukan ke universiti awam.
Katanya, pelajar cemerlang sewajarnya diberikan peluang mengikuti kursus pilihan masing-masing berdasarkan pencapaian akademik semata-mata.
“Sehubungan itu, sistem kuota perlu dikaji semula dan dimansuhkan secara berperingkat, dengan pelaksanaan sistem pemarkahan yang lebih telus dan terbuka bagi memastikan keadilan kepada semua,” ujarnya.
Tambahnya, reformasi sedemikian penting dalam usaha membina negara yang memanfaatkan bakat, memperkukuh tenaga kerja serta memacu pembangunan berasaskan keupayaan dan kecemerlangan.
“Setiap rakyat harus dilihat sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bersatu dalam identiti dan tujuan yang sama,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette


