PPPNP bangunkan Projek Dusun Durian Agrotourism Batu Kurau

IPOH – Kerajaan Negeri Perak menerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), merancang membangunkan penanaman durian melalui Projek Dusun Durian Agrotourism Batu Kurau.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, status tanah bagi pelaksanaan projek seluas 40.08 hektar itu masih dalam proses pelan ukur dan belum memperoleh hak milik,

Menurut beliau, PPPNP turut menyasarkan untuk menyelesaikan kerja-kerja pembersihan dan pembangunan kawasan tahun ini.

“Cadangan tanaman utama untuk projek berkenaan melibatkan durian Musang King serta durian duri hitam yang mempunyai nilai permintaan dan komersial semasa.

“Selain itu, kawasan ini turut dicadangkan sebagai projek agropelancongan berasaskan tanaman dan produk durian kerana lokasi yang strategik di Batu Kurau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias (PN- Batu Kurau) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.

Zolkafly berkata, PPPNP mula terlibat dalam perancangan pembangunan dan penanaman durian secara komersial sejak 2022.

Katanya, selain projek pembangunan, pelbagai program seperti kursus dan latihan hands on juga diadakan bagi menambah pengetahuan usahawan tanaman durian di Batu Kurau.

“Merujuk kepada unjuran pengeluaran hasil dan data Jabatan Pertanian Negeri Perak, Batu Kurau telah diiktiraf sebagai antara hub utama pengeluaran durian dan berfokus kepada durian kampung.

“Pelbagai usaha dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian dalam memastikan Batu Kurau terus meningkatkan pengeluaran durian.

“Bermula dari tahun 2011, kawasan pengeluaran durian Batu Kurau telah dimasukkan ke dalam Program Pembangunan Kluster Durian Jabatan Pertanian.

“Pada tahun 2011-2020, sejumlah RM3.9 juta telah dibelanjakan dan seramai 952 orang peserta telah menikmati bantuan peruntukan tersebut yang melibatkan kawasan seluas 1,004 hektar.

“Selepas dari tahun 2020, di bawah Program Pembangunan Buah Jangka Panjang, sejumlah RM0.5 juta telah dibelanjakan bagi membantu 144 orang pengusaha durian melibatkan kawasan seluas 126.8 hektar,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak sedia diskaun premium tanah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI