IPOH – Pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan, di daerah Hilir Perak ditutup sepenuhnya jam 5 petang tadi selepas banjir yang melanda semakin pulih.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, PPS itu ditutup selepas pihaknya mendapat nasihat dan meneliti keadaan kawasan berlaku bencana banjir telah beransur baik.
“Semua mangsa telah kembali ke rumah masing-masing dan secara rasminya PPS ini ditutup sepenuhnya mulai jam 5 petang hari ini.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi kerajaan, Tok Penghulu, individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak yang bertungkus-lumus membantu serta menyelaras selia PPS dengan terbaik sepanjang ia beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan petang tadi.
PPS yang dibuka pada Sabtu minggu lalu menempatkan mangsa yang tinggal di kawasan Batu 7, Batu 8, Batu 9, Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Lorong Sidang Osman, Lorong Imam Khairi serta Lorong Mesra. – MG Perak
Artikel Berkaitan: