Premis perniagaan kayu jadi transit, 5,070 liter diesel dirampas

BERUAS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah merampas 5,070 liter minyak diesel bersama peralatan lain termasuk sebuah lori tiga tan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM56,371.40, semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, rampasan dilakukan menerusi Ops Tiris 4.0 dan Ops Jeriji yang dilaksanakan dalam satu serbuan di sebuah premis perniagaan kayu dan perkakasan di Kampung Raja Hitam, Ayer Tawar di sini.

Menurutnya, operasi sekitar jam 12.30 tengah malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Manjung dengan kerjasama Pasukan Polis Marin.

“Hasil risikan mendapati sebuah premis tersebut dijadikan pusat transit bagi mengumpul minyak diesel secara tidak sah sebelum diedarkan ke pasaran industri.

“Ketika serbuan dilakukan, seorang lelaki tempatan didapati sedang memindahkan cecair disyaki minyak diesel dari sebuah lori tiga tan ke dalam tangki bekas pukal perantaraan (IBC).

“Pemeriksaan lanjut mendapati lori berkenaan telah diubah suai dengan pemasangan tangki fiber tambahan di bahagian belakang bagi tujuan penyimpanan minyak diesel.

“Selain itu, pihak penguat kuasa turut menemui lapan invois pembelian yang menunjukkan suspek membuat pembelian berulang di stesen minyak sama di Sitiawan bagi mengumpul bekalan dalam kuantiti besar.

“Bekalan yang dikumpul kemudian disimpan di stor sebelum dijual semula kepada pihak industri,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya telah menyita sebanyak 5,070 liter cecair disyaki minyak diesel bersama pelbagai peralatan lain termasuk sebuah lori tiga tan, satu skid tank, dua tangki IBC, dua unit pam elektrik, satu tangki fiber dan empat unit hos dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM56,371.40.

“Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,“ jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Polis Perak perketat rondaan sempadan kekang penyeludupan diesel

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI