IPOH – Persatuan India Muslim Perak (PRIM) meneruskan tradisi pengagihan nasi beriani ayam secara percuma pada setiap Ramadan yang diadakan sejak lebih sedekad lalu.
Pengerusinya, Mohamed Arib Aliah berkata, pada tahun ini sebanyak 7,000 bekas nasi beriani ayam diagihkan pada program yang diadakan di Masjid Sultan Idris Shah II atau lebih dikenali sebagai Masjid Negeri Perak di sini pada Khamis.

Menurutnya, program itu pada peringkat awalnya diadakan di sekitar Masjid India Muslim Ipoh sebelum dipindahkan ke Masjid Negeri Perak selepas mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan masjid.
“Alhamdulillah, program ini diadakan secara tahunan bermula di Masjid India Muslim Ipoh pada tahun 2014.
“Bagaimanapun, akibat ruang yang agak sempit dan jalan sesak, lokasinya ditukar ke Masjid Negeri Perak pada tahun 2018. Alhamdulillah, kita telah melaksanakan program ini selama sembilan tahun di sini.

“Kita bermula dengan 1,000 bekas sebelum meningkat kepada 2,000, 3,0000 dan alhamdulillah hari ini kita berjaya mengagihkan 7,000 bekas nasi beriani ayam kepada orang ramai,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Pengagihan Nasi Beriani Juadah Berbuka Puasa anjuran PRIM Perak dengan kerjasama Masjid Negeri Perak, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim; dan Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abd Farid Salleh.
Pengagihan nasi beriani ayam itu selesai dalam tempoh sejam selepas ia mula diedarkan bermula jam 3.20 petang.
Dalam pada itu, Mohd Arib memaklumkan, selain program agihan pek makanan, persatuan tersebut turut melaksanakan program bantuan Hari Raya khusus untuk golongan asnaf B40.

Katanya, program berkenaan dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan di Masjid Muhammadiah Tasek atau lebih dikenali sebagai Masjid Cina dengan kerjasama pihak masjid berkenaan.
“Pada program itu, kira-kira 150 keluarga kurang berkemampuan akan menerima bantuan bakul makanan bernilai RM200,“ jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


