TAPAH – Seramai 31,281 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) esok bagi memilih wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 601 petugas SPR termasuk polis pengiring akan bertugas bagi menghadapi proses pengundian di 63 saluran melibatkan 19 pusat mengundi.
Menurutnya, mengikut perancangan proses pengundian akan bermula dari jam 8 pagi sehingga 6 petang dan keputusan rasmi dijangka diperoleh pada jam 9 malam.
Tambahnya, pengundi perlu membawa kad pengenalan atau apa-apa dokumen pengenalan diri untuk membuktikan dia adalah pengundi yang berdaftar ke kawasan ini.
“Kalau tengok suasana dengan kawasan pun tidak seluas mana, kita jangka kalau tiada sebarang kacau ganggu, InsyaAllah dalam jam 9 malam kita boleh dapat keputusan rasmi.
“Saya menyeru kepada pengundi-pengundi yang berdaftar di kawasan Ayer Kuning seperti mana yang dimaklumkan Pengerusi SPR sebelum ini keluar lebih awal kerana suasana cuaca yang agak tidak menentu.
“Pengundi yang hadir dinasihatkan supaya tidak memakai pakaian yang melambangkan logo parti memandangkan tempoh kempen berakhir pada jam 11.59 malam ini dan berharap semua pihak bertanding mematuhi peraturan yang berkuat kuasa sepanjang berada di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau petugas SPR melakukan semakan peralatan dan isi peti undi di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK DUN Ayer Kuning, di Dewan Merdeka, di sini pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, Ikmalrudin berkata, setakat ini pihaknya telah menerima 33 laporan berhubung kesalahan melibatkan bahan kempen dipasang di kawasan yang tidak dibenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Contoh, bahan kempen yang dipasang di tepi jalan dan di bulatan yang menghalang lalu lintas. Daripada jumlah laporan itu, empat daripadanya melibatkan laporan polis membabitkan individu,” jelasnya.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir; Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN) dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRK Ayer Kuning: 93.4 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab