TAPAH – Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS menjadi individu pertama yang membuang undi pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pheng Lok, dekat sini pada Sabtu.
Beliau tiba di pusat mengundi berkenaan bersama Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan sebaik pintu dibuka jam 8 pagi.
Selepas selesai membuang undi di saluran dua, beliau turut meluangkan masa meninjau perjalanan proses pengundian di pusat mengundi berkenaan sekitar tiga minit.
Selain itu, antara yang terawal membuang undi di SJKC Pheng Lok adalah dua beranak R. Latha, 49, dan K. Ponggotei, 61 serta jiran K. Khavitha, 47.
Menurut Latha, mereka telah bersiap seawal jam 6 pagi untuk turun mengundi meskipun tahu pintu pusat dibuka jam 8 pagi.
“Saya memang bersiap awal untuk pergi mengundi bersama ibu dan rakan saya, memandangkan saya perlu bekerja hari ini di sebuah pasar raya Langkap.
“Saya seronok dan teruja untuk menunaikan tanggungjawab saya sebagai pengundi di DUN Ayer Kuning kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita di SJKC Pheng Lok.
Pada masa dia turut berharap keputusan PRK di DUN berkenaan akan membawa impak positif kepada penduduk setempat.
Sementara itu pasangan suami isteri, Chai Ko Chong, 85, dan Loi Mooi Ying, 82 juga selesai membuang undi di pusat mengundi sama.
Menurut Ko Chong, mereka yang tinggal di Kuala Lumpur sudah dua minggu berada di Taman Elok Kampar semata-mata mahu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Atas faktor kesihatan saya dan isteri kini tinggal bersama anak di Kuala Lumpur. Kami pulang ke Ayer Kuning dengan menaiki bas.
“Kami datang ke pusat mengundi bersama-sama dengan menaiki motosikal,” jelas bapa kepada tiga anak itu.
Seramai 1,072 individu mendaftar mengundi dengan dua saluran iaitu 450 pengundi di saluran satu, dan 622 saluran dua di pusat mengundi di SJKC Pheng Lok.
Difahamkan seramai 37 peratus dan 24 peratus pengundi telah selesai membuang undi masing-masing di saluran satu dan dua, setakat jam 9 pagi.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani dari PSM. – MG Perak
Artikel Berkaitan: