TAPAH – Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS dipilih sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang akan berlangsung pada 26 April ini.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj sempena Majlis Pengumuman Calon PSM bagi PRK N48 DUN Ayer Kuning di sini pada Selasa.
Bawani yang juga Pengerusi PSM Perak, pernah bertanding kerusi yang sama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun tewas serta hilang deposit selepas hanya memperoleh 586 undi berbanding penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang mendapat 9,088 undi dalam pertembungan empat penjuru.
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir dipilih sebagai calon BN pada PRK tersebut.
Pengumuman itu dibuat sewaktu Majlis Pelancaran Jentera PRK N48 DUN Ayer Kuning di Pusat Arahan BN, Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh, semalam.
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) dijadualkan akan mengumumkan calon mereka di Dataran Awam Tapah Road, malam ini.
Artikel Berkaitan:
PRK Ayer Kuning: Mohamad Yusri Tidak Sangka Dipilih Calon BN