TAPAH – Berbaki beberapa hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning Sabtu ini, calon Barisan Nasional (BN) giat mendekati pelbagai golongan pengundi termasuk pengundi ‘kelabu’ atau atas pagar.
Walaupun kumpulan pengundi itu sukar ditembusi namun, Dr Mohamad Yusri Bakir atau dikenali sebagai Ustaz Yusri berkata, hal tersebut tidak menjadi penghalang untuk beliau memberi penerangan berkenaan visi dan misi beliau di Ayer Kuning kepada mereka.
“Secara umumnya dalam siri kempen, kita turun padang dan berjumpa dengan mereka dan memaklumkan apa yang telah kita rancang untuk DUN Ayer Kuning.
“Saya turut menjelaskan kepada mereka tentang pentingnya wakil rakyat di sesebuah DUN itu selari dengan kepimpinan kerajaan negeri agar segala urusan berkaitan kebajikan dan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Saya percaya dalam kalangan mereka ini ada yang terdiri daripada sahabat dan kenalan saya sendiri. Jadi saya mohon kepada mereka agar diberi peluang bagi tempoh ini (sebagai wakil rakyat di Ayer Kuning),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan Batalion 3, Pasukan Gerak Am (PGA) Bidor, pada Selasa.
Dalam pada itu Ustaz Yusri memberitahu, beliau menerima pelbagai reaksi positif sepanjang tempoh berkempen yang telah memasuki hari ke-11, termasuk daripada kumpulan pengundi kelabu.
Diminta mengulas tentang pendekatan menyantuni pengundi, Ustaz Yusri berkata, penting untuk seorang calon menonjolkan diri sebagai bakal wakil rakyat yang memahami masyarakat majmuk tanpa memainkan sebarang sentimen ekstrem.
“Jika dipilih sebagai wakil rakyat, kita perlu menguruskan masyarakat yang berbilang kaum, fahaman, pelbagai keturunan dan pendapatan ekonomi. Kesemua ini perlu diberi perhatian oleh seorang pemimpin,” katanya lagi.
Pada PRK DUN Ayer Kuning, seramai 31,897 pengundi berdaftar direkodkan dengan 56 peratus daripadanya pengundi Melayu, Cina (22 peratus), India (14 peratus) dan lain-lain (lapan peratus).
Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Ustaz Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM). – MG Perak
Artikel Berkaitan: