IPOH – Barisan Nasional (BN) melalui calonnya akan melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN), Ayer Kuning dalam masa terdekat.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini kepimpinan parti sedang memperhalusi manifesto berkenaan bagi memastikan calon Dr Mohamad Yusri Bakir, dapat memenangi hati pengundi.
“InsyaAllah dalam dua ke tiga hari lagi, (kita akan lancarkan manifesto untuk calon BN kerana ketika ini sedang) diperhalusi.
“Ini kerana kebanyakan pembangunan (yang dicadangkan dalam manifesto itu) telah dibuat oleh kerajaan negeri.
“Namun, sekiranya ada perkara yang khusus calon mahu juga senaraikan dalam manifesto itu, kita akan berbincang dengan beliau dan memuktamadkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Pelancaran Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa Negeri Perak, Bantuan Baucar Buku dan Jelajah AIM TVET With Cikgu Saarani di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.
Dalam perkembangan lain, Saarani juga diminta mengulas berkenaan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar jentera dan peruntukan kerajaan tidak digunakan dalam tempoh berkempen pilihan raya.
Beliau yang juga Menteri Besar Perak menjelaskan, segala projek pembangunan dan infrastruktur yang sedang berjalan di DUN Ayer Kuning telah mula dibuat sebelum PRK berlangsung.
Mengambil contoh projek penyuraian trafik sistem laluan sehala di pekan Tapah, Saarani berkata, projek berkenaan telah mula berjalan lebih awal dan dijangka akan siap sepenuhnya pada 30 April.
Malah beliau memberitahu, bekas penyandang kerusi DUN Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin juga telah membuat permohonan bagi bagi projek pembangunan masjid, surau dan sekolah agama rakyat menerusi surat bertarikh 20 Februari lalu, iaitu dua hari sebelum Ishsam meninggal dunia.
“Pada 20 Februari Allahyarham ada menghantar surat kepda saya untuk memohon peruntukan pembangunan masjid, surat dan sekolah agama rakyat.
“Saya hanya sempat membuka surat itu pada 24 Februari, jadi saya tidak sampai hati untuk tidak meluluskannya kerana itu permohonannya sebelum beliau meninggal dunia,” jelas Saarani lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: